EiMAS merupakan pusat latihan di bawah Jabatan Alam Sekitar Malaysia. EiMAS melaksanakan latihan kepada pegawai-pegawai JAS dan pihak industri berkaitan kawalan pencemaran alam sekitar selaras dengan kehendak perundangan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
EiMAS terletak di atas tapak seluas 10 ekar di dalam Kampus Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi, Selangor Darul Ehsan. Institut ini telah dibuka dengan rasminya pada 2 April 2002, oleh YB Dato’ Seri Law Hieng Ding, Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Malaysia.
Melalui pelaksanaan kursus, EiMAS berhasrat untuk mempertingkatkan kemahiran dan pengetahuan pegawai-pegawai JAS dalam bidang kawalan pencemaran alam sekitar dan penguatkuasaan. Seiring dengan itu, EiMAS turut menganjurkan kursus-kursus kompetensi teknikal untuk pihak industri bagi memastikan kawalan pencemaran alam sekitar adalah agenda utama pihak industri.
EiMAS berhasrat untuk menjadi Pusat Kecemerlangan Pengurusan Alam Sekitar di Malaysia
EiMAS berdedikasi untuk mencapai kecemerlangan dalam usaha perlindungan alam sekitar melalui program pembangunan sumber manusia dan program lain yang akan menyumbang ke arah mencapai penyelesaian kepada masalah alam sekitar dalam konteks menyediakan persekitaran yang bersih dan sihat untuk kehidupan manusia.